Perkahwinan

Apabila sudah mencapai peringkat jemelai (remaja lelaki) atau teluwaih (remaja perempuan), selalunya di sekitar usia 16 tahun, mereka diberi kebebasan oleh ibu bapa. Pada peringkat ini mereka dikehendaki belajar tentang segala selok belok kehidupan dan adat resam bagi memudahkan mereka melalui liku-liku hidup apabila sudah berkahwin nanti.

Wakil keluarga lelaki akan merisik pasangan yang sesuai sebelum pertunangan dan perkahwinan dilangsungkan. hantaran lelaki adalah bergantung kepada pangkat keluarga tunangnya.

Bride price is important and is graded according to the rank claimed for the girl by her father. The grades are designed according to items of traditional wealth, particularly brassware, although payment nowadays is more often in money or land. The larger portion of the payment goes to the bride, the remainder to members of the immediate family. (M. Lebar (ed.), 1970 : 170)

Antara hantaran yang biasa ialah meriam, keris, cincin, padi, kelapa, sapu tangan, pinggan dan dulang tembaga. Semasa upacara penghantaran pakan atau hantaran itu makan besar diadakan. Bagi golongan Sembilan Pikul, pemberiannya termasuklah sebentuk cincin emas yang disimpan dalam kepuran, segantang padi diletakkan dalam bekas, jahai yang ditudung dengan anyam beburung, sebiji sebuah kelapa diletakkan dalam bukur dan ditudung dengan bukur tutup. Barang lain yang bernilai satu pikul, seperti meriam dan barang tembaga juga dihantar sebagai tunggu tunang, iaitu tempoh di antara penghantaran dan perkahwinan. Kalau lelaki yang memutuskan pertunangan, maka semua hantaran itu adalah menjadi milik pihak perempuan dan jika sebaliknya, perempuan perlu menghantar balik hantaran itu.

Bagi yang Tujuh Pikul pula tanda tunang ialah sebentuk cincin emas diletakkan dalam kepuran, segantang padi dalam segamut ditudung dengan tutup dan sebiji buah kelapa diletakkan dalam bukur dan ditudung dengan tutupPenyekabnya ialah tujuh amas emas, sebilah keris, sehelai sapu tangan iaitu persa rakab betabur dan bekas, tumokBriannya pula ialah barang-barang tembaga sebanyak tujuh pikul, menugak sebanyak sepikul barang tembaga dan pakan dalam bentuk wang tunai mengikut ketetapan perempuan dan persetujuan kedua-dua belah pihak.

Tanda tunang bagi yang Tujuh Betirih ialah sebentuk cincin emas dalam bentuk anak selapak, segantang padi dalam segamut yang tidak bertudung, sebiji buah kelapa dalam bakur yang bertutup. Penyekabnya ialah lima amas emas, sebilah keris, satu sipir dan sehelai kain persaBrian pula ialah barang-barang tembaga kuning tiga pikul sembilan puluh kati. Menugak ialah sebanyak sepikul barang tembaga kuning dan pakan dalam bentuk wang mengikut ketetapan pihak perempuan.

Hantaran untuk upacara nikah : Keturunan 9 Pikul, Keturunan 7 Pikul dan Keturunan 5 Pikul

Mas kahwin dibahagikan ke dalam dua bahagian; penyekab dan brian. Penyekabnya ialah sembilan amas emas, sebilah pedang, sehelai persa rakab betabur (sapu tangan) dan sebuah tumokBriannya ialah barang tembaga kuning sebanyak sembilan pikul, adat menugak sebanyak tujuh pikul tembaga, adat mebin sepikul dan pakan dalam bentuk wang mengikut ketetapan pihak perempuan.

Menjelang hari perkahwinan, bendera akan dikibarkan di hadapan rumah mengikut pangkat atau taraf sosial. Bagi yang Sembilan Pikul, dikibarkan sembilan helai bendera yang melambangkan pangkat. Pada pagi hari perkahwinan, rombongan pengantin perempuan berkunjung ke rumah lelaki. Sesampai di rumah tersebut, rombongan itu akan dihadiahi sehubung pranakan siantan bertabur (kain tenun berbenang emas). Pengantin perempuan dikehendaki menyentuh kanan seni (tempayan) dan berdiri di atas batu asah. kakinya akan direnjis dengan air dari kanan seni itu oleh wakil pengantin lelaki. Bagi yang Tujuh Pikul pula akan diberi sebuhung peranakan bercura, pemberian pahe mukad – terdiri daripada emas seamas, tujuh biji manik kahat dan sepikul barang tembaga, berbanding dengan seamas emas, sebentuk gelang perak, sembilan biji manik kahat, lima biji manik asin, manik tebalan dan manik pingeh masing-masingnya bagi yang golongan Sembilan Pikul. Bagi yang Tujuh Pikul Betirih pula diberi sebuhung tanjung sarek, pahe mukad terdiri daripada emas seamas, lima biji manik tilak dan sepikul barang tembaga kuning.

Hantaran untuk upacara tidur bagi golongan 9 Pikul, 7 Pikul dan 5 Pikul

Upacara bersanding di rumah lelaki dan perempuan adalah kemuncak acara. Pasangan pengantin baru perlu tinggal di rumah pengantin perempuan selama tiga hari. Di rumah itu mereka perlu melalui adat bertudui (tidur). Bagi golongan Sembilan Pikul, barang-barang yang dibawa oleh rombongan pengantin lelaki bagi tujuan tersebut ialah seamas emas, tujuh biji manik kahat, lima biji manik tilak, sebentuk gelang perak, empat bilah lembing, dua ulas belen (sirih pinang yang berkapur), sehelai kain lugik, tiga keping tulei (damar), kilak, terusong dan bagou tulei gangsa. Bagi mereka yang Tujuh Pikul dan Tujuh Beritih, jumlah alat dan keperluan adalah kurang.

Semasa tempoh adat bertudui itu mereka dilarang tidur pada waktu siang, mandi di sungai, pergi ke hutan atau berjalan-jalan di kampung untuk mengelakkan daripada menjadi gila atau perceraian.

Pantang larang utama pada masa perkahwinan ialah rombongan pengantin perlu menghadiahi sebilah tombak apabila memalui rumah keluarga yang berkabung. Kalau tidak, nasib malang akan menimpa pasangan pengantin itu. Dalam tempoh tiga bulan selepas persandingan, pakaian mereka tidak boleh dijahit supaya penyakit bisa-bisa tidak dihidapi; suami tidak boleh menetak bumbung rumah kerana perbuatan ini samalah seperti memutuskan perhubungan dan suami dilarang memerah isi kelapa yang sudah diparut.

Dalam pada itu, perlu juga disebut bahawa pada malam perkahwinan diadakan majlis bermukun atau bergendang. Mak gendang memukul gendang dan menjual pantun untuk dijawab oleh lelaki yang menari atau bertandak. Majlis ini amat meriah dan menjadi wadah bagi pasangan muda mudi untuk mencari pasangan masing-masing sebab biasanya gadis-gadis remaja akan duduk di belakang tabir bersama-sama mak gendang.

 

~petikan diambil dari Adat Resam Penduduk Sarawak,

terbitan Jawatankuasa Kecil Publisiti dan Filem

Perayaan Ulang Tahun Ke-25 Sarawak Merdeka dalam Malaysia

– Komuniti Melanau (mukasurat 187-190)~

~gambar diambil dari gerai Komuniti Melanau sempena Pesta Balau 2011~