ASAL USUL MELANAU

*Ni sy amik dr http://mforum2.cari.com.my/archiver/?tid-250738.html&page=2  oleh yaminz pd 10-3-2009*

 

Bagi sebahagian besar penduduk negeri Sarawak, ‘Melanau’ adalah satu bangsa yang sama seperti bangsa Iban, Melayu, Cina dan sebagainya. Ramai yang tidak mengetahui asal-usul dan makna perkataan ‘Melanau’.
Kira-kira setengah abad yang lalu, semasa Daerah Bintulu masih dalam jagaan Kerajaan Kesultanan Brunei, kerap kali Baginda Sultan datang ke Bintulu untuk melihat keadaan daerah ini serta memungut hasil daripada penduduknya. Pada suatu hari, sedang sebuah perahu kerajaan Brunei belayar menuju ke Kuala Bintulu, tiba-tiba bertembunglah perahu itu dengan beberapa buah perahu yang menuju ke destinasi yang sama. Nakhoda pun bertanya dengan seorang kelasinya, “Perahu siapakah yang banyak di hadapan kita?” Jawab kelasi itu, “Perahu orang memanau, Datuk.” Sari sehari ke sehari perkataan ‘memanau’ ini dengan tidak disedari oleh sesiapa bertukar menjadi ‘Melanau’.
‘Panau’, begitulah asal perkataan yang sebenar dalam dialek Bintulu yang mana bererti salah satu pekerjaan yang boleh didapati dalam daerah Bintulu pada masa ini. Pekerjaannya ialah menangkap ikan duai, ikan jamah dan sebagainya. Pekerjaan ini dilakukan oleh enam hingga sepuluh orang serta lengkap dengan perkarangan yang dinamakan “Idus” dalam dialek Bintulu serta perahu yang besar sebab orang yang bekerja ‘panau’ harus pergi ke tengah laut sejauh enam atau tujuh batu. Daun-daun ‘mulong’ dijadikan umpan. Di tengah-tengah laut inilah kadang-kadang terjadi ribut yang kencang dan gelombang besar yang datang dengan tiba-tiba. Sekiranya mereka memakai perahu yang kecil sudah tentu mereka karam dan boleh jadi nyawa mereka juga mungkin terancam.
Kiranya saudara berasal dari tempat yang penduduknya orang ‘Melanau’, janganlah berkecil hati apabila dipanggil orang ‘Melanau’ kerana ia bukanlah merendah martabat, pangkat dan bangsa. Ianya adalah semata-mata satu pekerjaan yang dipusakai oleh datuk-nenek moyang kita.
Andaian lain tentang asal nama Melanau ialah kaitannya dengan nama ‘Meranau’ (Maranao) atau ‘Mindanau’ (Mindanao). ‘Maranau’ atau ‘Marinau’ ialah nama suku kaum di Mindanao Tengah (lanun) yang sering menyerang kawasan persisiran Sarawak yang didiami orang Melanau sekarang.

BAHASA

Bahasa Melanau tergolong di bawah induk bahasa Malayo-Polinesia atau Austronesia. Bahasa Austronesia ialah bahasa yang tersebar daripada keluarga bahasa Austris dalam kebudayaan Dong Son di selatan Negeri China dalam tahun 2500 S.M.
Kelompok dialek Melanau dapat dipecah kepada empat kelompok penempatan yang utama.

1. Kawasan Rajang:
– Belawai, Rajang, Paloh, Daro, dan Matu
2. Kawasan Mukah:
– Mukah, Jebungan, Penakub, Teh, Sesok, dan kawasan persekitaran Mukah-Dalat
3. Kawasan Balingian-Tatau:
– Tatau : Sungai Balingian, Sungai Tatau terutama di muara sungai dan kawasan persisiran
4. Kawasan Bintulu
– Sungai Kemena dan Sebiew

Dalam “Sarawak Gazzette” 1972, I.C.F.S. Clayre menyatakan bahawa orang-orang Siteng di Mukah adalah hampir sama dengan bahasa orang-orang Melanau di Tatau. Bahasa ini pula ada persamaan dengan bahasa yang digunakan oleh orang-orang Punan Ba. Clayre seterusnya menerangkan bahawa dialek Melanau di Bintulu adalah hampir sama dengan bahasa kaum Sekapan di Belaga, yang mempunyai banyak bunyi sebuta / y /, / z /, dan / q /.

Dalam kertas kerjanya bertajuk “Bahasa Melanau: Satu Tanggapan Awal” yang dibentangkan dalam Seminar Budaya Melanau 1988, Encik Zaini Ozea dari Dewan Bahasa dan Pustaka Cawangan Sarawak menyatakan bahasa bahasa Bintulu mempunyai hubungan yang dekat atau banyak persamaan dengan bahasa Melanau. Walaupun bahasa Bintulu tidak dapat difahami oleh Melanau lain kecuali melalui pembelajaran, namun bahasa itu masih dapat dianggap sebagai bahasa orang Melanau kerana pengenalpastiaan Melanau di Bintulu tidak hanya pada aspek-aspek lain seperti adat resam.